.:: Air Mata Pemadam Api Neraka ::. "Ya Allah ! Ya Tuhanku Jadikanlah air mataku di waktu takut dengan-Mu Pemadam api neraka-Mu Jatuhnya air mataku menggugurkan segala dosa-dosaku Tuhan !Kalau bukan dengan rahmat-Mu Aku tidak akan selamat Setidak-tidaknya kalau bukan kemaafan-Mu Aku tidak terlepas daripada azab Aku lemah, bantulah aku Nafsuku serakah Bantulah aku bermujahadah selalu Syaitan yang menipu dayaku Lindungilah aku darinya Jalan kesesatan terlalu banyak Ada yang jelas Ada yang kesamaran Kalau bukan pimpinan-Mu Aku tersesat jalan Pimpinkanlah aku selalu Agar aku selamat menuju-Mu"

Khamis, 5 Februari 2009

Kemelut Perak : Rakyat masih sayangkn kerajaan Pakatan Rakyat


kemaskini 3.48pm Tiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah.

Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.



kemaskini 3.36pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi.

Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

kemaskini 3.33pm Pemimpin PAS mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur.

kemaskini 3.25pm Keadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiah di bandar diraja Perak.

Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu."

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.

kemaskini 3.20pm Polis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat.

Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.

kemaskini 3.18pm Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid.

Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu.

Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan masuk ke istana.

kemaskini 3.11pm Kelihatan sejumlah orang berbaring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana.

Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.

kemaskini 3.08pm Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka.

Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.

kemaskini 3.01pm Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata.

Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis.

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

kemaskini 2.58pm Perkumpulan orang ramai mula berundur ke dalam kawasan perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar sekali lagi selepas polis melepaskan gas pemedih mata bagi kali kedua.

Jumlah mereka dianggarkan 3,000 orang. Lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan, termasuk ke arah tempat letak kereta masjid.

Mereka masih mendesak ingin bergerak ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah menteri besar baru Datuk Dr Zambry Abd Kadir jam 3.30 petang ini.

kemaskini 2.50pm Polis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi.

Lima trak polis kelihatan, tiada kenderaan pemancut air kelihatan. Tiada tangkapan dilaporkan, setakat ini.

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

kemaskini 2.40pm Perkumpulan orang ramai yang bertempiaran bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah selepas polis melepaskan gas pemedih mata.

Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu. Kedengaran siren polis.

kemaskini 2.26pm Mereka merempuh sekatan polis di luar pintu masuk Masjid Ubudiah untuk berarak ke Istana Iskandariah.

Kira-kira 50 anggota polis termasuk unit pencegah rusuhan FRU terpaksa mengelak dan berdiri di tepi jalan.

Polis melepaskan gas pemedih mata, kedengaran sekurang-kurangnya tiga das ke arah kumpulan orang ramai.

Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana.

kemaskini 2.21pm Beberapa ratus orang, termasuk wanita, penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi.

Mereka dijangkakan berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid.

kemaskini 2.15pm Gelaran "Datuk Seri" yang dianugerahkan kepada bekas menteri besar Pakatan Rakyat di Perak wajar ditarik balik sebagai pengajaran kepada mereka yang menderhaka.

Ketua bahagian Umno Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang krisis tersebut dan bersikap
"lempar batu sembunyi tangan", lapor Bernama.

kemaskini 1pm Datuk Seri Najib Razak dilaporkan membayangkan perkembangan di Perak ini akan berulang di negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat.

Timbalan perdana menteri berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada perkembangan semasa politik.

kemaskini 12.40pm Speaker DUN Perak, V Sivakumar akan mengutuskan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan baginda mengadakan sidang khas dewan.

Sidang tergempar - seboleh-bolehnya hari ini atau esok - bagi menentukan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menguasai majoriti di dewan tersebut.

Sivakumar berkata beliau juga memohon baginda menunda majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir 3.30 petang ini.

Surat itu akan dikirimkan kepada baginda secepat mungkin.

12.10pm Satu perhimpunan besar menyokong Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan membantah pelantikan menteri besar baru kerajaan BN akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat.

12.01pm Menteri Besar Pakatan Perak akan bertolak ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar untuk menunaikan solat Jumaat tengah hari ini.

11.50pm Tiada kepungan polis di kediaman rasmi menteri besar. Polis hanya berkawal di jalan-jalan raya menuju dan berdekatan kediaman Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

10.45am Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad berkata polis telah mengawal pejabat SUK atas permintaan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

10.20am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan barisan anggota exconya berkereta keluar dari pejabat SUK. Menteri besar pulang ke kediaman rasminya.

10.15am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan anggota exco mengadakan sidang akhbar sebelum ia diganggu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan ketua polis daerah Ipoh, Azisman Alias.

Abdul Rahman dengan kasar mengarahkan wartawan meninggalkan bilik tersebut.

Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Han kedengaran memberitahu ketua polis daerah itu supaya mematuhi prosedur.

9:40am Menteri besar Pakatan Rakyat itu, yang berpakaian Melayu berwarna hijau dan barisan exconya tiba di bangunan setiausaha kerajaan negeri.

Pada mulanya pintu ditutup, selepas menemui pengawal, mereka dibenarkan masuk. Mohamad Nizar terus ke pejabatnya tetapi mendapati ia telah dikosongkan.

9.30am Semua anggota exco negeri Pakatan Rakyat berkumpul di kediaman rasmi menteri besar.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan