بسم الله الرحمن الرحيم
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjadi Guru sepanjang zaman dan teladan serta ikutan terbaik seluruh insan. Didikannya terperinci sehingga bab tidur pun turut ada adabnya.. Benarlah baginda suatu contoh ikutan sehingga akhir zaman.. InsyaAllah, di laman sesawang ini para pembaca yang sudi menziarahi boleh rujuk hadith berkaitan topik ini serta dzikir dan doa juga amalannya di bawah mukasurat ini. Teruskan membaca..
Ramai di kalangan kita yang memberi perhatian dan keutamaan kepada bilik tidur demi keselesaan semasa berada di dalamnya.
Orang ramai banyak merujuk kepada pakar-pakar interior design untuk memiliki bilik tidur idaman mereka. Ada juga di kalangan kita yang banyak membelanjakan wang ke arah buku-buku untuk memperhias dan mencantikkan bilik tidur.
Setelah itu ribuan ringgit dicurah dalam melahirkan konsep bilik tidur idaman dengan harapan ia akan membina suasana yang menampilkan ketenangan jiwa. Tetapi, adakah ia menepati tuntutan Islam..? Cuba renungkan sejenak..
Dengan harapan yang tinggi menggunung itu, bilik tidur dihias dengan pelbagai hiasan seperti;
1.Almari pakaian dari kayu jati.
2. Almari solek dengan cermin yang luas.
3. Jendela dan pintu masuk bilik dihias dengan langsir yang warnanya memikat.
4. Warna dinding bilik yang serasi dengan suasana idaman kontemporari.
5. Ciri-ciri bilik ‘ala spa’
6. Tak lupa katil beserta ‘pintu gerbangnya’ yang berhias, yang tilamnya ribuan ringgit beserta cadar dan sarung bantal dan bantal yang licin dan gebu.
7. Ciri-ciri ‘feng-shui’ yang dirujuk kepada si pakarnya.
(Kalau ada sesuatu yang penulis tertinggal atau tak sertakan sila komen ya..) Segala-galanya adalah demi keselesaan semasa berada di bilik romantis ini.. Tetapi masih ada satu persoalan..
- BAGAIMANA ANDA TIDUR..? -
Menurut kajian penulis,:
- Ada individu memberi keutamaan untuk bilik tidur yang cantik,
- Ada mahukan kualiti tidur
- Juga yang mahu masa tidur yang cukup
- Selain itu ada juga yang tak kisah tidur di mana dan bila masa
- Cuma segelintir sahaja tidur mengikut ajaran Islam.
Jadi amatlah rugi kita menumpukan kepada kaedah tidur yang menjauhi ruh Islam sehingga banyak wang dihabiskan serta jauh dari kasih sayang Allah..
Mari kita rujuk antara adab sebelum tidur adalah;
1. Membersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi)
2. Bersuci dengan mengambil wudhuk.
Perihal di atas adalah untuk sebagai langkah persediaan agar ia menuju kepada ibadah.
Yang pertama, tidur kita dalam keadaan ingat kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Apabila kita ingat Allah, maka kita tahu Allah sukakan kebersihan dan membersihkan diri menghampirkan lagi diri kita kepada Allah.
Yang kedua, tidur menjadi asbab menjauhi kita dari perkara mungkar. Maka tidur itu lebih baik daripada melakukan maksiat.
Yang ketiga tidur sebagai ruang rehat dan menjana tenaga untuk terus menjalankan ibadah seterusnya dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi. Seperti persediaan untuk bangun di tengah malam untuk melakukan ibadah sunnah yang lain.
Yang keempat, tidur juga sebagai ibadah bila masa kita tidur dalam mengingati yang Maha Esa dan meraih ketenangan sepanjang tidur.
Berwuduk sebelum tidur juga sebagai persediaan seandainya nyawa kita tiba di penghujung semasa lena. Dan seandainya kita meninggal dunia semasa tidur, maka ia ibarat mati dalam keadaan suci bersih. Siapakah yang pasti dan boleh memberi jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula keesokannya..? Tiada sesiapa pun..
Maka renungkanlah dan hayati serta hidupkanlah adab-adab sunnah yang baginda tinggalkan untuk kita..
Bagaimana Tidur Boleh Menjadi Ibadah dan Meraih Pahala Serta Kasih Sayang Allah..?
Antara pesan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengenai adab sebelum, semasa dan selepas tidur boleh kita amalkan setiap hari..
Mengkebutkan (membersih atau kibas) Tempat Tidur Sebelum Tidur
“Apabila salah seorang di antara kalian akan tidur, maka kebutlah tempat tidurnya dengan hujung kain sarungnya kerana sesungguhnya dia tidak tahu apa yang bakal menimpanya.” (Riwayat Bukhari)
Ini membuktikan Rasulullah amat prihatin akan persediaan tempat tidur agar kita dapat menjauhi sebarang bahaya sebelum tidur.
Berwudhuk Sebelum Tidur
“Apabila kamu akan mendatangi tempat tidur, berwudhuklah sebagaimana kamu berwudhuk untuk solat.” (Riwayat Bukhari)
Cara Tidur Yang Betul
“Apabila kamu hendak tidur berwudhuklah dahulu sebagaimana kamu mahu solat, kemudian baringlah di sebelah kanan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Saat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat seorang sahabatnya yang tidur meniarap, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengejutnya seraya bersabda: “Bangunlah! Ini ialah posisi tidur yang dibenci oleh Allah.” (Sahih Adab Al Mufrad – Karangan Imam Bukhari)
Amalan Dzikir Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Sebelum Tidur
Maksudnya: ” Apabila Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mahu tidur di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda merapatkan dua tapak tangannya. Lalu ditiupkan dan dibacakan Qulhuwallahu ahad (surah al Ikhlas), Qul a’u zubirabbil falaq (surah Al-Alaq) dan Qul a ‘u zubirabbinnas (surah An Nas), kemudian dengan kedua tapak tangannya, baginda mengusap tubuh yang dapat dijangkau. Dimulai dari kepala, wajah dan bahagian tubuh hadapan. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Doa Sebelum Tidur 1
“Dengan nama-MU ya Allah, aku mati dan hidup” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Doa Sebelum Tidur 2
Maksudnya:” Ya Allah, dengan Nama-Mu aku meletakkan bahuku, dan dengan nama-Mu aku mengangkatkannya. Jika Engkau menahan rohku (mematikannya), maka berilah rahmat kepadanya, dan jika Engkau menghidupkannya, maka jagalah dia sebagaimana Engkau menjaga hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Riwayat Bukhari, Muslim, At Tirmidzi dan An Nasa’i)
Doa Apabila Ketakutan Dalam Tidur
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kemarahan-Nya, seksaan-Nya, dan kejahatan hamba-hamba-Nya, dan daripada godaan syaitan (bisikannya) serta jangan sampai mereka datang (kepadaku)”. (Riwayat Abu Daud & At Tirmizi)
Doa Agar Dapat Tidur Malam
Maksudnya: “Ya Allah, telah malap bintang-bintang, dan telah tenang mata-mata manusia, dan Engkau Maha Berkuasa. Wahai yang Maha Berkuasa, lelapkanlah mataku dan tenangkanlah malamku ini.” (Riwayat At Tabrani & Ibnu Sunni)
Doa Apabila Membalikkan Tubuh Pada Waktu Malam
Maksudnya: “Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah yang Maha Esa, Maha Perkasa. Tuhan yang menguasai langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya. Yang Maha Mulia lagi Maha Pengampun”. (Riwayat Al Hakim)
Dzikir Apabila Terjaga Daripada Tidur Di Tengah Malam
Maksud sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa yang terjaga dari tidur dan berzikir pada waktu malam dengan menyebut ‘La ilaha illallah wahdahu la syarika lah, Lahul mulku wa lahul hamd, wahuwa ‘ala kulli syai ‘in qadir, alhamdulillah wa subhanallah wala ilaha illallah wallahu akhbar wala haula wala quwwata illa billa, atau berdoa ‘Ya Allah ampunkanlah bagiku’ atau berdoa, maka dimustajabkan doanya. Jika dia berwudhuk dan bersolat maka akan diterima solatnya.” (Riwayat Bukhari)
Doa Bangun Dari Tidur
Maksudnya : “Segala puji bagi Allah yang membangunkan kami selepas ditidurkan-Nya dan kepada-Nya kami akan dibangkitkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mencuci Tangan Apabila Bangun Dari Tidur
“Jika salah seorang daripada kalian bangun tidur, janganlah dia memasukkan tangannya ke dalam bekas air sebelum membasuhnya sebanyak tiga kali kerana dia tidak tahu di manakah tangannya ketika dia tidur.” (Riwayat Muslim)
Syaitan Bermalam Di Dalam Rongga Hidung
“Apabila seseorang bangun dari tidurnya, masukkanlah air ke dalam hidungnya sebanyak tiga kali dan hembuskan. Ini kerana, syaitan bermalam di dalam lubang hidungnya ketika tidur.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walau letih atau penat macamana sekalipun, jadikanlah amalan ini sebagai suatu kebiasaan sebelum tidur. marilah kita tanya diri kita “Bagaimana aku mulakan tidur dan bagaimana aku bangun dari tidur..?” Apakah yang membezakan tidur seorang muslim dan seorang kafir. Dengan mengamalkan apa yang baginda didik sudah pasti kita tidur di dalam keadaan tenang dan senang hati mengenangkan tidur kita didatangi pahala dan ganjaran serta keredhaan Allah dalam menyemai sunnah baginda dalam amalan tersebut.
*posting dpt dari seorg shbt yg email pd sy,terima kasih pd beliau. =)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan