Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang
bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir
tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang,
jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan
subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah
beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada
bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang
berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi)
dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga
dimensi zikir ini diaplikasikan.
Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah.
Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan
Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala
ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan
hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor
seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
- Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan
sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan
menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat
yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan
kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang
mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu
sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu
memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak
memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan
menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati
kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan.
Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila
kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati.
Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke
dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan
perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan
perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan
meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat
dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat,
mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila
ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir
fikli!
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka
kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat
merasakan empat perkara:
- Rasa kehambaan.
- Rasa bertuhan.
- Memahami maksud takdir.
- Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar
kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati
kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak
kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia
ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga
perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari
hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut
kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita
gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
- Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba
Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil,
lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan,
kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan
nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah
ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada
Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji.
Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak
mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini
samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima
hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang.
Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba
dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar
kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu
yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara
teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas,
tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya
menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan
tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa
kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini
sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan.
Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan
dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan
tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
- Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti
diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan
kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada
yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang
Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati
sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa
bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya
rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang
hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah
di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan
mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang
dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu
Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan
innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid
dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan
majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah
yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus
hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar
menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya,
berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati
mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.
- Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir
Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap
kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya
menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the
wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan
angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat
bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman
kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat
pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita
adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya
pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha
luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan
kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga
dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada
perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi
katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah
dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan
mata hati seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta.
Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka
baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala
sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka
berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan
begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan.
Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah
jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah
kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam
apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah
di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa
Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan
(takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan
sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja
Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi
buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan
meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not
what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low
you fall but how high you bounce back!”
- Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah
dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya
dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui
ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang
beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api,
lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala
sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian
bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul
Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung
ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat
golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang
sentiasa diuji.
Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan
kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai
orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan,
kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang
beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)
(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif
kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya.
Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai
satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk
meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah)
tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya
engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu
supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau
dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain
Allah.
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan
sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang
dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong
royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang
antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan
memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari
kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir
umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah
memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi
zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.
Dengan itu semua
orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang
sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya
berada di dalam hati sendiri!
by : ust pahrol
Tiada ulasan:
Catat Ulasan